Thursday, June 19, 2014

Pokok bunga pukul sepuluh






Seingat aku, sedar-sedar dunia ni aku selalu tengok pokok bunga pukul sepuluh.  Tapi pada masa itu pandang sebelah mata sebab masa sesi memandang tidak disertakan dengan penghayatan penuh.  Jadi tak nampak di mata cantiknya, tidak sedar di mana uniknya. 

Sehinggalah bila usia meningkat 36 ni, tatkala proses pereputan pun semakin sinonim dengan usia tetiba mak menggilai pokok bunga pukul sepuluh ni.  Dulu seronok tengok bunga takat kalau pi Cameron Highlands tu borong jugak le bunga ros dua tiga berkas balik letak dalam pasu.  Letak Panadol  dalam pasu bukan kerana ia sakit kepala tapi sebab dapat ajaran sesat entah dari mana kalau nak bagi pokok dan bunga ros tahan lama bagi ia makan Panadol.  Tapi memang tahan jugak la, tahan layu seminggu.  Sekarang ni tahap gila naik setingkat, gila tengok dan gila nak beli.  Tapi tiada niat nak tanam pokok bunga rose sebab berduri.  Tiga empat kali jari tercangkuk duri pokok bunga ros memang menyakitkan hati. 

Berbalik pada cerita pokok bunga pukul sepuluh tadi, EnWTT telah sudi membelikan anak-anak pokok ini di nursery di Kajang sana.  Tiga anak pokok dengan warna berbeza berharga RM10.  Ada juga yang aku pujuk-pujuk tokey nursery tu bagi free.. Haha.  Jadi dapatlah beberapa warna yang sekarang dengan cantiknya menghiasi balkoni.  Balik rumah, Sumini rajin membega pula maka hasilnya sungguh la memuaskan hati.  Tapi untungnya pokok bunga pukul sepuluh ni senang sangat nak idop. Cucuk la celah manapun dalam pasu-pasu lain menumpang hidup, pasti ia akan tumbuh subur

Selain daripada orkid, pokok bunga pukul sepuluh ini menjadi penyeri.  Sekian, entri rengkas.. bukan nak cerita sangat sebab nak kongsi gambar bunga je.. ;)  Sapa nak benih pokok bunga pukul sepuluh ni (especially rakan2 sepejabat** - sebab dekat, bolehlah mintak ye jangan segan-segan)


Sekian, terima kasih.

 







Friday, June 13, 2014

Perkara random tentang bibik



Masa mula-mula ambil Sumini bekerja dengan kami, ada beberapa perkara yang telah dibincang dan dipersetujui bersama, secara lisan.

Antaranya cuti  beliau ialah sebanyak dua hari  dalam sebulan.  Setahun ada 12 bulan maknanya cuti tahunan beliau ialah 24 hari.  Sikit lagi nak sama dengan cuti tahunan aku iaitu 30 hari dan EnWTT 35 hari.  Ok takdak kena mengenapun cuti tahunan kami laki bini dan cuti Sumini.  Cuti tahunan beliau akan digunakan oleh Sumini dalam cara yang beliau mau.  Setakat ni belum lagipun diguna cuti tahunan itu kecuali satu hari,  selepas aku mendaftar beliau untuk kelas membuat roti.  Kelas buat roti tu pun tak lama dalam tiga jam macam tu saja.  Tak cukup seharipun, tapi sebab aku yang bayar maka dikira sehari tolak cuti tahunan.  Hahaha.  Majikan kategori kejam tapi masih berhati perut gitu. Dalam hati ada taman + semak samun kaedahnya.

Dalam perbincangan bersama juga kami telah bersetuju menetapkan bahawa sekiranya Sumini tidak mengambil cuti rehatnya itu, kami akan bayar beliau sekali ganda dari gaji sekarang.  Macam sekarang contohnya gaji beliau RM800 sebulan, jadi gaji harian semasa cuti (tapi tidak bercuti) beliau lebih kurang RM26.70 X 2 X 23 hari cuti = RM1228.20 (gaji cuti) Betul ke aku kira ni ? Matematik aku memang lemah tapi EnWTT kata bab duit ringgit aku memang cekap.  Lebih cekap daripada Menteri Kewangan 2. Hahahaha. Laserrrr abam !

Aku tulis ni sebagai peringatan untuk diri sendiri kerana ada ramai saksi, hangpalah tolong jadi saksi bila sampai masanya jangan buat-buat lupa.  Aruah pak aku pernah berpesan… selalu pesan semasa hayatnya, guna tenaga orang jangan liat bayar.  Jangan pula sesekali tak bayar.  Tak halal rezeki kami kalau dok tangguh bayar penat lelah orang.  Nanti ada cabang-cabang rezeki kita tersekat tanpa disedari.  Berat juga jadi majikan ni ya, tu baru sorang pekerja. Culas sikit jer semua akan dipersoal di sini dan di sana. 

Kat bawah ni aku nak letak gambar hasil adunan Sumini selepas beberapa kali mempratikkan ilmu daripada kelas membuat roti dan donat yang dihadirinya sebelum ini.  "Aku memang suka memasak.. emangnya memasak itu hobiku. Menjadi kecintaanku" kata-kata Sumini terngiang di telinga, sambil berharap satu hari nanti aku mampu menuturkan kata-kata yang sama. Ngehngehngeh...



  

Friday, May 30, 2014

Farm In The City ( Bhg. 1)

Setelah sekian lama tidak berkesempatan untuk bawa anak-anak bersantai di hujung minggu akhirnya kesempatan pun datang.  Sudah pastilah peluang tidak dilepaskan bila cadangan aku untuk bawak anak-anak ke Farm In The City, (lepas ni aku tulis FITC saja)  di Seri Kembangan dipersetujui oleh BigBoss.. EnWTT :)


Sumini tak ikut, emak akupun tak ikut.  Emak kata nak rehat-rehat di rumah, Sumini pula bila emak tak pergi dia mengambil keputusan untuk menemankan emak di rumah saja sambil-sambil boleh mengemas katanya sepanjang ketiadaan anak-anak. Maka pada pagi Sabtu yang lepas kami sekeluarga berlima berangkat ke sana.  Dekat saja FITC dengan rumah, dalam 20 minit perjalanan bercampur dengan jem dan trapiklite bagai.  FITC terletak di belakang Giant Seri Kembangan, jalan nak pi Jusco Ekuin Park kepada yang masih kabur.. Hehe.  Senang juga nak cari.


Sampai di sana anak-anak dah mula teruja, emak mereka apatah lagi.  Aku memang suka benda-benda macam ni.  Zaman bercinta dulu antara port dating kami ialah Zoo Negara. Hahaha.  Aku ingat lagi sekali dua diajak pi Zoo Negara, En WTT masih boleh senyum-senyum.  Masuk kali ke empat dan seterusnya muka dia pun dah macam singa bosan kat zoo yang terdampar keboringan dalam kandang.  Aku ni kalau boleh tiap-tiap bulan pi Zoo Negara pun takpe.. sangat Natgeo Wild jiwa emak ni anak-anak oii.

Okey sambung balik.. FITC dibuka pada jam 9.30 pagi  sehingga 6.30 petang setiap hari.  Harga tiket adalah seperti di bawah  :


Pi sini kami beli pakej keluarga bayar RM109.00 untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak.  Rahman Nur Muzammil masuk percuma.  Pakej ni bersekali dengan dua minuman ringan untuk dewasa dan dua Vitagen untuk anak-anak, baucar makanan RM10.00 di restoran FITC serta dua tiket untuk menunggang kuda yang setiap satunya berharga RM7.00 agak berbaloi jugakla walopun part tunggang kuda tu tak sampai seminit seorang.  Yang penting anak-anak boleh merasa tunggang kuda walaupun kuda tu kecik kenet jer..  


Konsep FITC ni macam 'petting zoo'.  Boleh bermain dengan binatang di sini, suap makan, pegang, dukung dan apa-apa je la yang hangpa suka asal jangan terbunuh sudah binatang tu.  Ada beberapa binatang yang agak merbahaya macam ular sawa, burung helang rokok Winston tu tak buleh pegang la anak-anak ya.. itu memang dalam cermin duduknya.  Eh burung helang rokok Winston tu rasanya nama betui ia helang merah kot. Lantak pi, janji ada nama dah ! 


Mari layan gambar-gambar anak-anak emak di FITC.

Di pintu masuk, Rumaisa dan Rasyid yang teruja tengok kura-kura besar :)  Rahman relax je sebab dia tak kenalpun kura-kura.

Mari memulakan pengembaraan di alam FITC

Burung ayam-ayam.. errr ayam burung-burung
  
Antara unggas yang bebas berkeliaran di FITC. 

Merak kayangan terdampar di bumi

Antara tempat tumpuan anak-anak.

EnWTT sedang memberi makan burung.
 
Habis episod melayan unggas dan burung segala, kami pergi melawat kanggaru dan anak-anaknya. Pada sesi kali ni pelawat tidak dibenarkan mengambil gambar dengan kanggaru kerana beliau baru sahaja melahirkan anak, mahu menyendiri untuk menenangkan fikiran setelah berpenat lelah melahirkan.. rasanya le. Hehe.  Apapun terubat rasa hati bila melihat rusa-rusa jinak di taman ini.   Siap boleh bertepuk tampar lagi.  

Rusa makan kangkung..
Kiri : Kambing ni bapakkkk besar, macam lembu dah.  Kanan : Itik

Orang-orang.  Kata Rasyid ini ialah hantu taman. Nasib hang lah..

Dan seterusnya bahagian paling menyeronokkan untuk anak-anak kecil.  Main sauk-sauk ikan dalam longkang.  Bukan anak-anak je yang seronok, mak bapak pun buleh histeria keterujaan bila sampai di sini.  Terkenang kembali masa kecik-kecil dulu main sauk ikan dalam parit,  dalam bendang segala. Tangkap anak karin, anak beras.  Huiii syioknye.. haha ! Oh ya ikan karin is nama lain untuk ikan laga  bagi yang tak tau. 

Keterujaan bermula.

Rahman yang mengantuk tapi memberi kerjasama terbaik dengan membosan dalam stroller dia.

Rumaisa dengan hasil tangkapannya.  Tak payah beli ikan sebulan.
Ini Rasyid punya.

Sambung nanti bahagian dua.  Memang seronok.  Emak bapak yang tercari-cari tempat menarik untuk bawa anak-anak bolehlah pertimbangkan FITC untuk bersantai-santai..  Ini baru sebahagian aktiviti di sini.. Insya Allah sambung lagi :)

Wednesday, April 30, 2014

Bau Anjing..

Satu malam yang hening sedang memeluk si Rasyid agar cepat lelapnya, tetiba terdengar suaranya dalam gelap gelita..

"'Mak, cuba emak cium simut Acit  ni.. Bau anjing !" katanya sambil menolak ke tepi selimutnya.

"Ishkk.. Abang ni biaq betoi, mai mana bau anjing plak.. " aku  kekonpiusan.

"Betulll mak,  bau anjinggg sangat. Acit nak simut barulah..." Katanya lagi bernada protes. 


Akupun dengan perasan ingin tahu terus ambil selimutnya lalu dicium.. Oohhhhhh.

"Bukan bau anjing nak... Ini namanya bau hancingggg. Hancing sebab Rasyid kencing kena selimut".


29.4.2014, Rasyid sudah pandai menggunakan perkataan hancing walaupun bunyinya agak haram..  Heheheh.