Tuesday, August 5, 2014

Raya



Ramadhan sudah pergi, Syawal datang berganti.   Kemeriahan di sana sini  merayakan kemenangan dalam pengertian masing-masing empunya diri. 

Erti hari raya tahun ini besar bagiku, syukur pada Allah.  Raya yang sama tahun lepas 2013, emak terlantar sakit.  Pada masa tu aku balik raya dua minggu, dua minggu emak terlantar sakit sambil sekuat hati menafikan sakitnya.  Demam berpanjangan, tak lalu makan minum.  Ajak pergi hospital tak nak, pergi ambil ubat bertangguh-tangguh. Berpuluh ajakan ditolak dengan seribu alasan.  Aku beraya dalam patah hati.  Rasa tak berdaya tengok emak sakit tapi tak mampu lakukan sesuatu.  Dipendekkan cerita, awal tahun hari tu emak menjalani semua prosedur kesihatan yang perlu untuk memulihkan keadaan dirinya.  Dan raya tahun ini, Alhamdulillah kembali ceria walaupun emak kehilangan sebelah kakinya tetapi taraf kesihatan sudah berada di tahap terbaik.  Kami anak-anak ada sebab untuk bergembira meraikan Syawal dengan lebih bermakna, emak apatah lagi.  Sejujurnya aku rasa emak telah dikurniakan satu peluang baru untuk hidup lebih sihat sejahtera.  Semoga emak manfaatkan sebaiknya. 

Raya tahun ini juga menyaksikan buat pertama kali kami sekeluarga tak sempat nak bergambar sekeluarga berbaju rona biru tua (biru pekat kata Rumaisa).  Tetamu datang ke rumah emak bersilih ganti.  Sibuk kami dari pagi membawa ke petang, mujurlah tahun ni kakak aku (yang 4 tahun tidak dapat beraya bersama-sama sebelum ini kerana di luar negara)  dapat beraya bersama-sama kami,  jadi ada Event Manager yg turun padang melicinkan urusan-urusan di hari raya.  Sehingga raya ke 5 pun masih ada yg datang menziarah emak.  Ramai sungguh tetamu, meriah dan letih bersilih rasa.

Dan, hmmm Ramadhan tahun ini aku simpulkan sebagai Ramadhan yang gagal buat diriku.  Tentang kegagalannya biarlah menjadi pedoman buat diriku seorang.  Moga sempat untuk memperbaiki diri pada Ramadhan akan datang. 

Selamat hari raya, maaf zahir dan batin.

No comments: