Wednesday, January 11, 2012

Lupa dan tak ingat

Dulu-dulu aku gelak kat kawan aku bila dia kata selepas menjalani pembedahan caesarean, selain dapat anak, dia dapat penyakit tak berapa nak ingat iaitu menjadi pelupa. Aku tak percaya sebab kalau dari segi logiknya apa hal luka pembedahan kat perut memberi impak kepada sel ingatan di otak. Yang dibedah ialah perut, bukan otak. Ditambah dengan pendapat-pendapat pakar perubatan bahawa tidak pernah ada satu kajian khusus dibuat bagi mengesahkan hal tersebut dan tiada penjelasan saintifik yang dapat mengaitkannya maka ia kekal menjadi mitos pada doktor-doktor.

Tapi selepas dua kali melalui pembedahan caesarean, dan pada masa ini selepas 3 tahun berlalu pembedahan caesarean kali pertama dan hampir 2 tahun untuk yang kali kedua, baru aku tau cemana rasanya penyakit ‘lupa-lupa’ itu selepas mengalami sendiri. Sebab apa aku kaitkan penyakit lupa ini dengan impak ceaserean ialah kerana sebelum itu aku tak pernahpun ada masalah macam ni. Semuanya terjadi selepas melalui caesarean. Seksa kengkadang.

Cumanya penyakit lupa ni bukanla kronik sangat kot. Ia macam sejenis penyakit lupa pada skala kecil-kecilan tapi sangat tension pada satu-satu tahap. Contohnya, lupa kat mana letak kunci kereta. Lupa di mana letak barang-barang kecil. Lupa kat mana simpan itu, simpan ini. Bila dah kunci rumah, boleh pulak patah balik beberapa kali untuk memastikan rumah sudah berkunci atau belum. Tension huuuu. Tapi, bila nak makan, nak mandi, nak tidoq, nak itu nak ini dan paling penting bila tarikh akan dapat gaji pada bulan seterusnya tak lupa pulak. Macam buleh pilih pulak bab apa nak ingat dan bab mana nak lupa, dasarrr !

Tapi aku bersyukur jugak la kerana walaupun dengan penyakit lupa ini, memori aku tentang kejadian-kejadian sepanjang melalui proses kehidupan sebelum ini masih segar di ingatan, contohnya masa sekolah kena rotan, kena denda berdiri atas kerusi dengan cikgu. Kena hempuk atas belakang dengan buku oleh cikgu Trengkas masa di sekolah menengah sebab baca gurisan Trengkas tunggang terbalik. Dan lepas tu kena peluk oleh cikgu yang sama sebab aku score subjek dia. Semuapun masih segar di ingatan, kena libas belakang dengan aruah pak aku sebab main polis sentri sampai santak maghrib tak ingat nak balik rumah. Dan petang esoknya pula bila dia bawak aku ke kedai runcit di kampung, dia belikan aiskrim pop sepuluh batang pelbagai perisa. Bukan sebab untuk memujuk, sebab aku yang mintak. Satupun aku tak lupa.

Juga masih ingat 30 tahun yang lepas, mak aku tertunduk-tunduk sampai ke tengah malam menjahit baju raya kami sekeluarga dengan tangan. Juga masih segar di ingatan aku hari pertama melangkah ke Tadika KEMAS. Dapat makan free pagi-pagi jam 10. Pastu cikgu bekalkan susu tepung free bawak balik rumah. Zaman tadika main perang-perang dengan kawan-kawan. Aku selalu dilantik jadi komander perang, merancang strategi menyerang musuh dalam hutan mengkuang, tepi bendang. Lepas tu cikgu akan memandikan kami seorang demi seorang kerana berselut sampai ke rambut. Pun aku ingat. Termasuklah zaman-zaman mengaji dari sekolah rendah sampai sekolah menengah sampailah ke politeknik. Segar belaka.

Ini bermakna, benda-benda yang aku lupa dan kurang kekal di ingatan ini adalah memori-memori baru. Kejadian yang berlaku dalam setahun dua kebelakangan ini. Tapi aku bersyukur, masa memandu masih ingat peraturan jalan raya. Kalaulah aku lupa kat mana nak berhenti, time lampu isyarat tengah merah orang berhenti aku teruskan perjalanan.. oh tak ke haru. Okey, aku sedar aku tak lah lupa tahap kronik cuma macam tadi lah aku cakap, lupa pada skala kecil-kecilan yang membuatkan aku tension dan rasa kekurangan. Lupa mana letak kunci, kat mana letak henpon, ditambah pulak Rasyid yang rajin sambar henpon aku dibawak main pastu entah kemana-mana disimpan. Kadang-kadang dalam bantal, kadang-kadang aku jumpa balik dalam tong beras. Ada masanya dalam susunan periuk-periuk. Lagi tension kalau secara tak sengaja disilentkan henpon aku tu. Seminggu dua selagi tak guna periuk selagi tu la tak jumpa. Itu semua menjadi beban emosi kepada diri aku di samping penyakit ‘lupa-lupa’. Kelam kabut jugak dibuatnya. Hmmmm…

Dan kesimpulan dari pemerhatian aku, memori ingatan aku untuk perkara-perkara yang terjadi sebelum caesar adalah masih segar dan kekal di ingatan. Sebagai contoh, aku masih ingat nama penuh kawan-kawan lama termasuk bin dan bintinya sekali. Tapi sekarang, kalau takat sekali jumpa dan sebut nama contohnya :

“Hai, nama saya Mariah Carey (bukan nama sebenar)”.

Esok lusa, besar kemungkinan bila jumpa balik Mariah Carey tadi wajib la aku akan lupa nama dia siapa, jumpa kat mana dan bila. Melainkan kalo ada impak kuat dia bagi kat aku, contohnya seperti ini :

“ Hai, nama saya Mariah Carey”. Pang! Pang! Pang! (dan tak semena-mena disertai dengan pelempang dua tiga das kat pipi aku) “ .

Okey, kalau yang macam tu punya impak, aku rasa sampai nak kiamatpun aku akan ingat siapa Mariah Carey. Hihi. Mari tinggalkan kisah Mariah Carey dan impaknya yang tak wujud tadi tu. Itu contoh sahaja.

Baiklah, berhenti merungut. Bersyukur kerana aku cuma lupa sikit, tapi bukan nyanyuk teruk !