Thursday, January 14, 2010

Cerita Tentang Siapa-siapa.. (B)

B, balu yang kematian suami hampir 10 tahun yang lepas. B tidak berputus asa meneruskan kehidupan di samping 6 cahaya mata yang pelbagai ragam dan upaya. B mengharungi kehidupan dengan mengusahakan beberapa bidang tanah peninggalan suami, juga ehsan ipar duai yang tidak berkira. Ipar duai B berada jauh di kota, meninggalkan amanah kepada B untuk menjaga harta pusaka yang ada di kampung, di samping sedikit sebanyak dapat menikmati hasilnya. Walaupun tidak mewah, cukuplah untuk menampung kehidupan sekeluarga.

B mempunyai ramai kawan. Bagi B, selagi tidak memberi apa-apa masalah kepadanya, B akan menerima siapa sahaja. Sebelum ini B juga menoreh, tetapi bila kesihatan tidak mengizinkan B berhenti menoreh dan berehat sahaja di rumah di samping menguruskan anak-anak kerana ada anak B yang bergelar OKU memerlukan perhatian. Di samping dapat memberi tumpuan kepada kesihatannya yang semakin hari semakin terhakis kesan dari kerja keras sewaktu muda dan faktor peningkatan usia. Lagipun beberapa anak B yang sudah bekerja ada juga menyumbang sedikit sebanyak bantuan kewangan kepada B, jadi agak ringanlah beban B.

B mengupah orang untuk menoreh getah dikebunnya. B tidak dapat duduk diam bila kebun yang selama ini dijaga, ditoreh sesuka hati oleh pekerja yang hanya ingin mengaut untung jangka pendek. Jadi penoreh baru pun bertukar ganti. Sehinggalah pada 2008, B mengupah sepasang suami isteri menoreh dikebunnya, R. Awalnya semua berjalan lancar. R tidak dinafikan memang rajin. Selain menoreh B juga mengupah suami R membaiki rumahnya dan lain-lain. Harmoni sekali.

Langit tidak selalu cerah, lama kelamaan B merasa sangsi dengan R kerana beberapa kali terjadi duit ringgit B hilang, kebetulan pula semasa R berada di rumah B. Awalnya B mengesyaki anak-anak jiran, namun B tidak terburu-buru bertindak. Sehinggalah suatu hari, terjadi satu insiden di mana kepercayaan B benar-benar musnah terhadap R. R pula berlakon seperti tiada apa yang berlaku. Puas B berfikir bagaimana untuk menjarakkan hubungannya dengan R sehinggalah B mendapat idea.

Kebetulan A yang baru menetap di kampung itu sedang mencari pekerjaan. Jadi B memberikan beberapa alasan kepada R yang dikira masuk akal. R pun berhenti dari menoreh di kebun getah B. Tempatnya diambil alih oleh A. Bermula dari hari itu, hubungan B dengan A menjadi rapat. A suami isteri sangat rajin menolong B, dan pada masa yang sama tidak kedekut memberi bantuan sekiranya diperlukan B, sementelah anak-anak B juga berada jauh dari kampung halaman mencari haluan rezeki masing-masing. Jadi anak-anak B senang sekali dengan situasi tersebut kerana secara tidak langsung ada jugalah orang yang tolong tengok-tengokkan ibu mereka.

Selalu juga bila balik dari menoreh A singgah di rumah B, memasak dan mengemas rumah B. A tidak menuntut sebarang upah kerana anak-anak A yang seramai 3 orang selalu berada di rumah B, selain A tidak lokek mengeluarkan belanja membeli barang dapur. B menerima kehadiran anak-anak A yang menumpang berteduh di situ sementara menunggu rumah mereka siap kerana rumah sementera yang ditumpang oleh A tidak sempurna untuk dihuni. Walaubagaimanapun A dan suaminya tidak pula mengambil kesempatan untuk bersenang lenang di rumah B, sebaliknya hanya anak-anak yang ditinggalkan untuk menumpang tidur.

Nyata, keakraban B dan A tidak disenangi oleh R, jadi tersebarlah cerita-cerita yang bukan-bukan dan tidak masuk akal yang diyakini oleh B bahawa ia dimulakan dari mulut R. Tuduhan-tuduhan bahawa suami A adalah penagih dadah kronik sehingga ketahap menggunakan jarum suntikan sengaja untuk menakutkan B. Suami A juga dikatakan telah menggunakan kereta Kancil milik B untuk mencuri beberapa guni sekerap mengundang rasa musyhkil di hati B. Apabila B cuba mencari di mana puncanya fitnah-fitnah itu, mulut-mulut yang bercerita tidak dapat pula memberi fakta yang sahih, semuanya sekadar daripada cakap dengar sahaja. B berpendapat, sangatlah mustahil untuk menyumbat beberapa guni sekerap ke dalam kereta Kancil kerana sudah tentu akan meninggalkan bau dan juga sisa-sisa. Jadi B tidak ambil pusing akan cakap-cakap tersebut kerana B sangat yakin bahawa cerita- cerita tersebut adalah satu usaha untuk mensabotaj persahabatan yang terjalin diantara dia dengan A.

Sehingga ke hari ini, rutin kehidupan A dan B diteruskan seperti biasa. Bagi B, Allah SWT Maha Mengetahui...

Cerita belum tamat..


Wednesday, January 13, 2010

Cerita Tentang Siapa-siapa.. (A)

A, dari mata kasar adalah seorang ibu yang baik, sangat berusaha keras mencari rezeki demi sesuap nasi. Membanting tulang seawal jam 4 pagi di kebun getah. Menoreh sebelum Subuh dikatakan menghasilkan susu getah yang banyak sementelah waktu ini musim daun getah luruh, produktiviti adalah semakin kurang dari hari ke hari. A sama-sama bekerja dengan suaminya. Oleh kerana pendapatan tidak mencukupi, A menoreh di beberapa kebun getah yang berbeza.

A juga seorang anak yang sangat bertimbangrasa, sanggup meninggalkan kesenangan hidupnya di negeri paling Utara tanahair.. memujuk suami balik ke kampung halaman demi menjaga ibu yang sakit, juga ayah yang sedang uzur. A bertindak demikian kerana selama ini adik beradiknya yang lain yang selama ini tinggal berhampiran dengan ibu bapanya seperti tidak mempedulikan untung nasib kedua ibu bapanya. Manakan tidak, walaupun rumah anak-anak cuma di seberang jalan, namun lalang di halaman rumah ibu bapa sudah setinggi kepala tidak bertebas, sampah sarap bertaburan tiada yang mahu membersihkan. Makan minum tidak dipedulikan. Sedih dengan keadaan itu, insaf dengan kedaifan ibubapanya, A sekeluarga berpindah ke rumah ibu bapanya.

Betul, Allah sentiasa melorongkan rezeki kepada insan-insan yang berbuat baik kepada ibu bapanya. Tidak berapa lama kemudian, A dikurniakan rumah bantuan kerajaan dikenali sebagai Rumah PPRT. Sementara menunggu rumah siap, A menjalani rutin biasa di rumah ibubapanya, menguruskan kehidupan mereka sekeluarga. Makan minum, kesihatan dan kebersihan terjaga. Walaupun keadaan ibunya semakin uzur.

Konflik tiba bila ayah A mengurniakan sebidang tanah kepada A, untuk A dan suami mencari rezeki. Penghargaan barangkali kerana pengorbanan A meninggalkan kesenangan hidupnya dan balik mengharungi kesusahan bersama-sama mereka. Malangnya, adik-beradik A tidak bersetuju. Dengki dan hasad berlumba-lumba di dalam diri mereka. Iri dengan keistimewaan yang diberikan oleh si ayah, maka bermulalah episod-episod duka dalam diri A. Salah seorang abang A adalah tukang rumah yang diamanahkan oleh kontraktor untuk menyiapkan rumah projek PPRT tersebut, kerana sakit hati, abang si A menarik diri dari menyiapkan rumah tersebut. Tinggallah rumah trebengkalai, namun masalah tersebut selesai bila kontraktor utama cepat mencari pengganti. Abang yang seorang lagi pula kebetulan baru pencen dari pasukan keselamatan, balik ke rumah ibu bapa tersebut dan menuntut rumah yang dihuni oleh ibu bapanya dengan alasan semasa pembinaan dahulu, beliau juga ada menyumbang beribu-ribu ringgit. Hendak tidak hendak, terpaksalah si ayah menurut kata, bila tenaga sudah tiada.. hilang daya upaya. Anak-anak yang tidak mengenang budi mula pijak kepala. Pada masa yang sama, si ibu juga kembali ke rahmatullah. Bertambah sedih si A. Kemuncaknya A sekeluarga dihalau keluar dari rumah tersebut.

Mujur ada orang kampung yang sudi memberi tumpang kepada mereka. A tinggal di rumah kosong milik seorang penduduk yang bersimpati. Dan A meneruskan rutin biasa, bekerja mencari rezeki menampung kehidupan mereka sekeluarga. Namun malangnya, A dilarang dari menziarahi ayahnya oleh adikberadik yang berkuasa. Ayah yang sangat uzur tidak berdaya hendak membantah kehendak abang-abang A. Tinggallah A berendam airmata, hanya mampu menzahirkan kasih sayang kepada ayahnya dari kejauhan. Selama ini dia yang menjaga makan minum dan pakai serta kebajikan ayahnya tentulah amat terasa dengan kekangan-kekangan tersebut. Sekali sekala bila dapat berjumpa, masing-masing meluahkan perasaan...

Anak-anak yang bodoh dan ego pula mendabik dada dengan kemenangan mereka, lupa bahawa hati naluri ayah yang sudah uzur dahagakan kasih sayang dari tangan anak-anak yang benar-benar ikhlas menjaganya, bukan kerana sekeping tanah atau duit pencen atau sebagainya..

Sadiskan, ini bukan drama swasta! ** Sambung nanti.... **

Tuesday, January 12, 2010

2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Oleh kerana terlalu banyak benda yg nak dicerita sehingga ke tahap serabut dan berselirat, sedar tak sedar takde satupun entry dalam blog aku pada bulan Januari 2010 ini.. Tinggallah blog ini sunyi sepi berabuk dan bersawang..

Insya allah sehari dua lagi, akan kembali seperti biasa.. Oh ye, selamat tahun baru untuk semua.