Thursday, July 14, 2016

Bila isteri Mrs. DIY

Entry takde mukadimah, jenis terus terjah.  Seorang emak dengan tiga orang anak yang sedang membesar memang banyak kena abaikan mukadimah-mukadimah ni. Tak dan woi !


Ceritanya begini.  Kat rumah mak di kampung sana, kami masih menggunakan sistem air bukit yang disalurkan melalui paip bawah tanah yang dibuat oleh orang dulu-dulu, seawal tahun 1980 dengan bantuan Jabatan Parit dan Tali Air.  (Sebelum tu kami guna air telaga.  Aku antara individu bertuah sempat lagi merasa mandi air telaga). Orang dulu-dulu ini ialah tenaga-tenaga pakar yang tidak mendapat latihan formal, tapi amat arif selok belok sistem air bukit bawah tanah ni.  Dan mereka ini sekarang cuma tinggal dalam 4-5 orang sahaja, rata-ratanya berusia dalam 68-75 tahun.  Kalau takdir kata serentak meninggal kelima-limanya, aku tak tahu sapa lagi yang arif pasal sistem paip air bukit ni kecuali kalau mereka perturunkan ilmu kepada generasi seterusnya.  Moga ada yang mewarisi.


Selain paip yang menyalurkan air bukit ni ada juga paip air JKR asalnya yang lepas itu diberi  SADA tapi kebanyakan orang kampungku lebih suka guna air dari paip bukit sebab airnya –chlorine-free. Alasan lain yang lebih besar ialah tiada bil dikenakan.  Bila rosak, akan ada p.i.c yang akan pegi kutip duit dari setiap orang kampung sebagai upah untuk team yang buat baik pulih ni.  Selalunya RM3 satu keluarga.  Itupun jarang-jarang berlaku.  Dan sehingga ke saat ini kami masih menikmati kesejukan air bukit yang sejuk, jernih, dan segar yang suhunya boleh pergi sehingga 15 darjah celcius di kala Subuh, sejuk dan berasap-asap.  Bila musim ujan saja airnya akan berubah warna tapi sat sat saja dalam sejam dua macam tu, lepas tu kembali normal.


Mungkin kerana musim hujan yang berpanjangan pada tahun lepas, paip-paip air bukit kat umah mak aku ni sudah tersumbat.  Nak call SADA memang di luar radar depa sebab orang SADA memang tak bertanggungjawab dengan paip bukit ni.  Jadi nak tak nak aku kena pi cari pakcik plumber otai (selepas ini ditulis sebagai ppo – pakcik plumber otai) ni untuk menyetelkan masalah paip yang tersumbat sekian lama.  Setelah berpesan-pesan dan berkirim salam berkali-kali dengan orang kampung yang lain maka datangla ppo  ke rumah dalam persalinan yang sungguh klasik.  Berseluar slack agak lusuh sesuai untuk kerja-kerja rencam, berkain pelikat.. memakai kemeja dan lilitan kain pelikat di kepala.  Setelah membuat pemeriksaan lebih kurang, ppo pun memaklumkan kepada aku akan barang-barang yang perlu dibeli dan ditukar ganti.  Masa tu sudah jam 6 petang. 

“Cepat sikit gi beli.. Pakcik takleh dok tunggu lama-lama. Sat lagi nak gi masjid pulak “, katanya kepada aku yang masih terkial-kial nak hafal nama peralatan yang perlu dibeli. 

“Kalau macam tu saya bawak pakcik gi belilah.. lagi senang. Laju pun laju,” kataku pula sambil tunjuk kereta yang siap parking di tepi jalan.

“Isk.. tak payah kot.  Tunggu di rumah saja. Gi kedai dekat-dekat sudah “ katanya menolak. 


Tetapi selepas sesi rundingan yang ringkas ppo akhirnya bersetuju untuk ikut serta.  Aku bawa  Rumaisa dan Rasyid sebagai teman.  Niat asal nak beli barang di kedai hardware berdekatan tak tercapai sebab kedai dah tutup jadi kami lajak ke Pekan Sik yang lebih kurang 10km dari kampung.


Sampai di kedai hardware beserta dengan niat memudahkan urusan,  ppo turun sendiri beli barang, dan sebagai menghormati ppo akupun turun juga dari kereta dan tunggu kat tepi-tepi kedai hardware tu dengan anak-anak aku.

Tiba-tiba seorang kawan lama bernama Sutina (bukan nama betoi, kalau nama betoipun hangpa taktau)  datang menyapa dengan ramah-tamahnya.

“Weh lama sungguh tak jumpa hang.. anak dah berapa ?” kami salam-salam sambil berpeluk-pelukan dan cium-cium angin diiring rindu penuh kepalsuan. Hahah ! 
 
“Anakku tiga ja.. sorang lagi tak bawak” kataku. 

“Sapa tadi tu? Laki hang ka ?? Klasik wey laki hang.  Aku teringat aruah tokwan aku. Pakai seluaq.. kain pelekat dgn kemeja. Awat tua ngat laki hang ?  Tua2 pun tiga gak anak hang, fuyiio power beb !”katanya tak pandang kiri kanan menghamburkan kata-kata. 

Dan dalam masa yang sama ppo pun sudah sampai ke kereta dengan barang-barang dari kedai hardware penuh di tangan.

“Bukanlah…” aku baru nak menerangkan hal sebenar..

“Jommm.. lewat dah ni ! “ tetiba ppo bersuara dengan tegas dan sebagai menghormati ppo dan dengan kekangan masa ppo akupun terus bersalam-salam dengan Sutina.

 “Nanti kita jumpa lagi..”kataku.
 
“Jangan nak habaq tu ayah hang.. aku kenai ayah hang, ayah hang handsome macam P. Ramlee !” kata Sutina dengan senyum penuh keyakinan bahawa ppo tadi adalah suamiku..  Aku hanya mampu sambut dengan gelak ketawa gaya kelampiran, mengilai-ngilai tanpa tema di waktu petang sambil melambai Sutina.

Dalam kereta, sambil memandu aku tergelak sensorang, lucu mengenangkan insiden dengan Sutina tadi.. tetiba ditegur ppo dalam lorat Sik yang dalam..

“Mu dok gelak sorang-sorang dok syok natangplamer, tak besa beli batang paip ka ?  Parah moha orang muda-muda ni” kata ppo dengan bersahaja.


Lepas itu ku simpan gelak dalam perut sampai rumah.  Sepanjang jalan set muka jadi seperti pemikir maha serius sambil memandu pulang ke rumah dengan pasrah !

2 comments:

Laxmi said...

wakakkakakkakaka

Shima said...

Naja, apa kesudahan cerita ni?