Zaman
sekolah menengah, dua kali aku duduk di asrama.
Asrama di sekolah-sekolah yang berlainan. Ada satu kejadian yang sama, cuma
tempat dan masa yang berlainan. Dan pendekatan yang diambil oleh pihak-pihak
tertentu untuk menanganinya juga sama.
Membuatkan aku terfikir-fikir pada masa itu, sampailah sekarang.. apakah
ia adalah satu peraturan tak termaktub yang diwarisi zaman berzaman. Dan masihkah lagi digunapakai sampai
sekarang.
Cerita
bermula seawal pagi sewaktu semua penghuni perempuan bersiap-siap mahu ke
sekolah. Tiba-tiba di hujung sana ada
sekumpulan pengawas asrama sedang berbicara serius sesama sendiri. Sesiapa yang lalu di tepi mereka akan direnung
tajam dari atas ke bawah. Tiada segaris
senyum di bibir. Tidak kira kau rakan
baik kepada salah seorang pengawas tadi atau sebaliknya.
Dan
kami pergi ke sekolah dengan penuh tanda tanya.
Apabila hampir tamat waktu sekolah, wakil kelaspun membuat
pengumuman. “Semua penghuni asrama
diminta berkumpul di bilik rehat selepas makan tengahari”. Hidangan tengahari cepat-cepat ditelan, seperti
duri-duri yang lekat ditekak. Bila semua
sudah siap makan, lekas-lekas kami ke bilik rehat menanti pengumuman.
Ketua
Pengawas tiba. Muka kelat. Dan bersuara nyaring.
“Pagi tadi ada sesapa yang
tertinggal pad yang dah digunakan kat bilik air? Baik mengaku cepat, kalau tidak…”, ayat
tergantung.
Dan
kami yang disoalsiasat sudah pasti tertanya-tanya, kalau tidak… kenapa ? Kalau mengaku kenapa ? Kalau tidak mengaku kenapa ? Adakah kalau mengaku tetiba akan dikenakan
hukuman gantung mandatory ? Atau disuruh
membuang pad berdarah itu sendiri? Atau
dimalukan sesuka hati ? Kerana tidak
tahu apa bentuk hukuman yang bakal menanti, maka semua pun mendiamkan
diri. Aku rasa alangkah elok kalau
ketua pengawas tadi berkata begini “ Sesiapa yang ada tertinggal pad di bilik
air diminta membuangnya. Jagalah
kebersihan bilik air untuk kepentingan kita bersama”. Satu pertanyaan dan arahan yang jelas, tidak
menghakimi dan tidak memalukan sesiapa.
Oleh
kerana semua berdiam diri, maka satu
syarahan berbentuk nasihat yang lebih kepada kecaman-kecaman keras-keras ditala
bulat-bulat ke telinga kami. Semua diam
membantu. Pada aku, kalau ada sesiapa
yang bangun dan mengaku pad itu miliknya, aku rasa dialah heroin tulen yang
mampu menelan segala umpat keji sekurang-kurangnya untuk tempoh satu semester
akan datang. Dan kalau ada terjadi lagi
kejadian yang sama, pastilah tak perlu dicari lagi sesiapa yang bertanggungjawab,
pasti automatik jari-jari sang pengawas akan tertuding kearah orang yang sama
lagi. Hakikat yang harus kau telan.
Dan
diakhir sesi perjumpaan itu tiada siapa yang mengaku. Maka kami disuruh beratur di sepanjang
koridor, dari bilik air sampai ke bilik rehat.
Seorang pengawas asrama masuk ke dalam bilik air dan keluar dengan
ditangannya adalah satu pad yang telah digunakan, dibalut dengan kertas A4. Tong sampah di tepi bilik air itu jaraknya
tak sampai sekaki di tepi kakinya, ternganga dan tertadah mintak diisi. Tapi dia punya agenda yang lain.
“Oleh kerana tak ada sapa yang
mengaku, saya nak awak semua terima hukuman.
Setiap orang kena pegang pad ini dan bagi pada kawannya di sepanjang
barisan ni lepas tu orang yang terakhir kena buangkan dalam tong sampah nun di
hujung bilik rehat”.
Maka
bermulalah ritual pembuangan pad itu mengikut rukun turun-temurun amalan
generasi asrama. Pad bertukar
tangan. Masing-masing bermuka
kelat. Sang pemberi hukuman dan
rakan-rakan tersenyum puas hati kerana merasa telah berjaya memberi hukuman
setimpal. Keadilan telah ditegakkan
mengikut versi mereka. Yang bersalah
tapi tak tau sapa telah dihukum walaupun yang lain terpaksa juga turut merasa. Kejijikan mesti dikongsi bersama tapi bukan
untuk kau rakan-rakan kau tapi untuk orang-orang yang telah dikambinghitamkan.
*Pad = tuala wanita untuk sesiapa
yg tak tau.. tapi mustahil taktau. Hehe
4 comments:
as salam
ada ke org tak tau pad? hehe
maybe sebut mende lain..
:)
mana tau org pikir pad itew adalah IPAD.. wakkakakka :P
gila jijik naja oi!!!!
Masa sy duk asrama dulu,pengawas akan pergi dr dorm ke dorm dan arahkan sapa2 yg tinggal pad tu pergi buang dlm tempoh yg ditetapkan.Selepas tempoh tu,kalau x buang,pengawas ugut nak perah limau dan baca baca sket.Tak memalukan pesalah sbb lps tu dia bley diam2 pegi buang,tapi mistik betul hukuman.Menjadi plak tu taktik tu,hehehe.
Tihara - Betul ada yang taktau.. Sorang member dia panggil pelampung sebab menampung kebocoran katanya. Kehkehkeh
Lax - Geli gak ler
Rafhani - Mmisteri nusantara punyer hukuman.. hahaha
Post a Comment