Tuesday, January 28, 2014

44 hari



Sebagai ibu bekerjaya  yang waktu pejabatnya habis pada jam 5 petang memang la roh untuk masuk ke dapur lepas balik kerja bukan selalu mai menjengah.  Adakala kerana kemalasan, aku balik rebus teloq secukup bilangan kami anak beranak pastu gaul kicap, makan ramai-ramai.  Mujur EnWTT jenis tak komplen.  Kalau dia rajin dia tambah la apa-apa juadah lain.   Cumanya kemeriahan lauk pauk yang disediakan bergantung pada tahap kerajinan.  Bukan apa, adakalanya pandai memasak dan rajin memasak selalunya tidak hadir secara berpakej.  Ada yang rajin masak tapi tak sedap pun.  Ada yang pandai masak tapi malasnya ya rabbi. Ada yang memang pandai masak, ditambah pulak dengan rajin.  Memang beruntung badan. Masuk bab memasak, aku rasa aku pandai gak masak.  Kategori masak lauk apapun sedap ler.. (tapi hadir sama dalam pakej tersebut ialah pemalas)  Hahaha.  Mampuihla.   Seawal perenggan pertama sudah puji diri sendiri, memang mengundang maki.   Ya, sekurang-kurangnya bila  aku letak gambaq masakan di fesbuk pastu takdela sibuk-sibuk menafikan tak pandai masak bila ada yang memuji atau membuat penafian demi penafian konon-konon ‘try and error’  Haram nak letak kalu goreng ikan hangit rentung, harus yang sedap-sedap dan nampak menyelerakan saja yang dipapar di fesbuk.  Jadi apakah maknanya itew ?  Mohon diri sendiri untuk terasa.. orang lain kalau nak turut terasapun dipersilakan sekali,  apakan dayaku menahannya.  Harharhar ! 



Berbalik bab masak tadi, pada malam tahun baru aku telah bertekad yang aku akan memasak untuk makan malam pada setiap hari kecuali sakit pening, rebah pengsan atau selop dan sebagainya.  Ini azamku yang pertama yang datang secara tiba-tiba selepas gigih mengupdate status kat fesbuk pada malam 31 Disember 2013 seperti ini :

“Azam tahun baru 2014 : Mengulang azam tahun 2013 yang diulang daripada azam tahun 2012. What the...”.



Lepas tu aku terfikir kenapa tidak membuat sedikit perubahan, kalaupun bukan untuk diri sendiri.. untuk orang-orang yang aku kata aku sayang sangat dan sanggup berkorban masa, tenaga, jiwa dan sebagainya untuk depa di rumah ni iaitu suami dan anak-anak.  Ok, bab pengorbanan ni tak payah pegi ‘deep’ sangat lah.  Pengorbanan yang lebih besar kalau nak cerita kena betul-betul panjang lebar bersekali dengan hujah-hujahnya.  Ini pengorbanan kecik-kecik yang tidak memakan masa atau mendera mental dan emosi sangatpun.  Jadi aku telah bertekad sempena 2014, aku akan cuba memasak pada setiap hari untuk makan malam sekeluarga.  Sekurang-kurangnya pada Januari 2014 ni. 



Dan kata Dr Fadzillah Kamsah masa aku pi seminar dia kat MOF dua tahun lepas, kalau nak jadikan sesuatu perbuatan itu sebagai tabiat, hendaklah dilaksanakan 44 hari berturut-turut.  Tak kiralah, perbuatan ka amal ibadat ka atau apa saja yang kita inginkan.  Laksanakan 44 hari berturut-turut insya Allah selepas itu ia akan menjadi darah daging.  Bertekad, berazam, berhempas pulas untuk buat jugak-jugak walaupun kadang-kadang mai perasaan malas tahap tapir ataupun tahap kemalasan hang tu selevel dengan najis mughallazah.  Hat ni bukan Dr Fadzillah Kamsah kata, ni aku yang kata.  Hehe.



Jadi pada petang semalam, dengan bangganya aku telah memasak untuk makan malam kami sekeluarga pada hari ke 27 tanpa gagal.  Aku harap aku mampu meneruskannya untuk 17 hari lagi sebelum menjadi darah daging, meresap roh memasak tu bersatu dengan rohku agar kemalasan di hari-hari mendatang akan terus menyingkir dari jasadku ini.  Ha kau ! Semangat. Hehehe.  Menu tak gah, lauk pauk biasa yang sapapun buleh masak.  Satu jenis lauk, satu lagi sayoq.  Kalau rajin up dua jenis lauk.  Takda menu megi untuk dinner.  Walaupun ia seperti perbuatan kecil dan biasa-biasa, tapi aku rasa ini adalah secebis kisah kejayaan dalam berkeluarga.  Menghindari makan di luar yang penuh dengan monosodium glutamate atau panggilan manjanya ajinomoto dan ditambah pula dengan harga makanan sekarang yang mencekik dompet, kesanggupan dan kerelaan untuk memasak setiap hari adalah satu kerja calang-calang untuk orang seperti aku !    



Tapi apa yang penting dari semua-semua tu ialah aku memerlukan sokongan moral EnWTT dengan cara cuba balik seawal mungkin ke rumah.  Tak payah lagi bertunggu tangga di opis menghabiskan kerja-kerja yang tak mungkin habis.  Bukan saja dia, akupun sama.  Tahun 2014 menyaksikan pertama kali aku masuk mengadap Puan Boss, menguatkan semangat memberitahu beliau aku ingin balik ke rumah sebaik tamat waktu bekerja jam 5 petang.   Aku hanya akan stay sekiranya ada urusan yang sangat mustahak.  Kalau kategori biasa-biasa simpan saja buat esok pagi. Alhamdulillah, Puan Boss setuju.  Putaran waktu bekerja takkan habis selagi tak pencen. 



Kalau EnWTT balik awal, dia boleh layan anak-anak, aku memasak.  Memang kami ada bibik, tapi anak-anak bila nampak muka mak ayah kat umah selalunya tak nak ke bibik dah.  Logik jugakla, kami keluaq seawal pagi tinggalkan depa semua kat bibik, bila dah petang nampak kami balik mestila nak bermanja dan bercerita itu ini.  Sebab itu aku akan meluangkan masa sekurang-kurangnya setengah jam layan anak-anak pastu baru bersilat berkuntau di dapur.  Akupun ingin mengurangkan pergantungan kepada khidmat bibik.  Lagipun bibik yang sekarang ini rajin benar jadi tak sampai hati plak aku nak tala semua benda kat dia.  Cukuplah dengan apa yang dia buat dari bangkit tidur jam 6 sampai la dia masuk ke sarang pada jam 9 malam selewat-lewatnya.  Syukur dah, jangan kau meminta lebih.  Macam biasa, semua bibik-bibik yang diambil bekerja dengan kami sebelum ini ok-ok jer kot sehingga depa cabut lari (time tu baru la aku rasa tak ok).  Yang lepas biaq lepas, takmau aku dok menangis meratap !



Entahla ni entry ka luahan hati ke apa akupun taktau, takdak kategori.  Pun takdak penutup.  Tak klimaks.  Sori. 


Sumini binti Pitoni Waji.  34 tahun.  Bersuami dan punya seorang anak.  Berpengalaman kerja di Arab selama 8 tahun, fasih bercakap Arab.  Bibik terbaru anak-anak kami, harap-harap berpanjangan untuk tiga empat tahun lagi.

Monday, January 20, 2014

Projek #2



Tinggalkan sekejap projek kitkab yang terbengkalai gara-gara sel otak tidak berfungsi sepenuhnya masa tu menyebabkan warna yang dipilih sungguh laaaa.. (sambung sendiri ayat nih.. hehe)

Projek kedua ialah Peladang Jaya 2014.  Hehe.  Tajuk takleh blah macam pengusaha tanaman berekar-ekar luasnya.  Padahal cuma sekangkang kera, kalau betul-betul diukur  kangkang kera yang sebenar lebih luas lagi kot dari port projek tanaman aku kat apartment nih.  Tapi itulah, kalau tak cuba mana nak tau hasilnye ye tak ?

Dulu, hati aku tertanya-tanya apa bestnya bertanam bunga segala nih bila tengok mak kat kampung gigih menyiram pokok-pokok tanamannya hampir keliling rumah.  Lebih kurang 45 minit gak mak amik masa setiap pagi berjalan sambil bawa paip getah untuk memastikan pokok-pokok yang dia tanam boleh berfotosintesis dengan jayanya bila matahari pagi naik.  Aku labelkan hobi mak aku sebagai ‘buang masa’.  Emak kata itu adalah terapi untuk dirinya.  Tapi bila balik kampung,  aku tetap tolong emak bersihkan perdu-perdu pokok bunga dia yang kadang-kadang tak terjaga sebab banyak sangat, atau ketika kesihatan emak tidak mengizinkan.  Berbelas tahun kot aku buat benda yang sama. 

Hujung Disember 2013 aku balik kampung seminggu.  Banyak pokok hiasan mak yang mati, kecut, tak terjaga kerana emakpun bukan sihat benar sekarang.  Jadi seperti biasa projek baik pulih lanskap pokok hiasan emak termasuk dalam agenda percutian.  Insaf rasa di hati bila emak teruja tengok pokok-pokok hiasannya kembali terjaga.  “Bagus la dah cerah rumput-rumput tu, lepas ni buleh mak siram dan tengok balik pokok-pokok mak ni”.   “Dok tengok pokok bunga lawa-lawa ni pun satu terapi jugak “, kata emak untuk sekian kalinya tentang terapi.  Memang betul-betul terapi bagi mak sebab setiap pagi selepas itu aku tengok emak gigih menyiram pokok-pokoknya seperti biasa.  Terapi kesihatan, terapi kecerdasan minda dan tubuh badan.

Balik Putrajaya, aku tengok balkoni di apartment ku yang tercinta ni kosong tak bernyawa.  Fungsi sebagai tempat meletak penyidai kain  cuma, juga tempat mengumpul abuk.  Terbiar, tidak terjaga.  Tiada yang menarik di situ.  Tetiba terngiang-ngiang  di telinga kata-kata emak dok tengok pokok bunga lawa-lawa pun satu bentuk terapi.   Datang idea nak memenuhkan balkoni yang sekangkang kera dengan tanaman hiasan. Meminjam sedikit hobi dan minat emak  di kampung.  Juga ada beberapa tanaman lain yang ku cuba semai.  Contohnya, labu, cabai besaq, dan tomato dan hati sungguh gembira tak terkata bila tanaman ni naik dengan suburnya.  Satu jer lagi tanaman yang aku semai tak tumbuh-tumbuh iaitu asparagus.  Mungkin belum sampai masa.  Tumbuh satu perasaan lain di dalam hatiku ini, seronok tak terkata.  Perasaan inilah kot yang sekian lama emak aku dok kata terapi terapi tu.  Dulu balkoni tempat yang tak pernah aku lepak lebih dari 5 minitpun, sekarang setengah jam di situpun tak terasa. 

Apapun semoga  semangat menghijaukan balkoni sendiri ni bukan sekadar hangat-hangat ayaq hangat..  Terima kasih kepada EnWTT yang memberi sokongan moral dan tenaga dalam menjayakan projek tanaman mak nih.  Saya suka, EnWTT pun suka gak kot, anak-anak lagi la suka. 

Mai tengok gambaq : )








Dimulakan dengan pokok pegaga ni yang menjadi masterpiece.  Daripada 5 helai daun jer yang disemai pada 3.1, sekarang dah tumbuh dekat 10 helai daun.  oh my ;)


Pokok-pokok hiasan, berbunga dan tidak berbunga.

Macam-macam ada yang ni pun kategori pokok hiasan



Yang kuning beli IKEA, yang pink beli di Aeon-Big.  Masa beli kecik saja sekarang ni.. sepasu penuhnya.  Mak hepi :)




Tak tau apa nama pokok ni, bunga dia cantik sangat.  Yang tumbuh kecik-kecik tu  is pokok cabai.




Anak-anak cabai yang tumbuh subur



Ni anak pokok labu,  lepas ni boleh petik labu kat balkoni.



Yang terjengoi seketoi  dua itu ialah halia


 Inilah barisan kita yang ikhlas berjuangggg... koleksi pokok orkid.
 


Semoga hidup subur.




Cinta baru.  Terapi baru.